SUNGAI PETANI

SEJARAH NAMA SUNGAI PETANI



Sejarah Nama SP
NAMA Bandar ini diambil daripada nama sungai, iaitu Sungai Petani, anak Sungai Merbok. Pada zaman dahulu,anak sungai itu dikenali dengan nama Sungai Bertanding, kononya kerana anak sungai tersebut setanding atau selari dengan satu anak Sungai Merbok yang lain. Jarak di antara dua anak sungai itu kira-kira 60 meter.

Nama 'Petani' mungkin berkaitan dengan daerah Pattani di Thailand. Pattani lahir daripada perkataan Sanskrit pathini yang bermaksud 'perempuan yang suci'. 'Pathini' adalah gelaran yang diberikan kepada puteri Merong Maha Wangsa, puteri yang dikatakan cantik rupa parasnya dan mulia pekertinya. Puteri itu diangkat menjadi ratu yang disanjungi oleh penduduk di sana.

Ketika Kedah dikenali dengan nama Langkasuka, para pedagang selalu berulang-alik antara Lembah Merbok dan Pattani serta bahagian timur Semenanjung melalaui jalan darat. Jadi, tidak mustahil jika nama Petani itu dipinjam daripada gelaran ratu sanjungan tersebut.

LATAR BELAKANG

Latar Belakang SP
Sungai Petani (singkatan Sg. Petani atau "SP") merupakan sebuah bandar perindustrian di negeri Kedah yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Sungai Petani ialah bandar kedua terbesar di Kedah selepas Alor Setar.
Sektor perumahan berkembang pesat di Sungai Petani. Semenjak tahun 1990-an, bandar Sungai Petani menerima pelaburan besar oleh syarikat-syarikat pemaju perumahan. Taman Ria, Taman Ria Jaya, Taman Peruda, Taman Mutiara Indah, Taman Berlian merupakan perumahan terancang yang terawal di Sungai Petani. Menjelang tahun 1999 sehingga 2007, beberapa bandar baru dimajukan antaranya ialah Bandar Aman Jaya, Bandar Mutiara, Bandar Puteri Jaya, Bandar Sri Astana, Bandar Sri Cendana, Legenda Heights, Bandar Laguna Merbok, Bandar Puteri Hill Park dan Cinta Sayang Resort.
Bandar Sungai Petani sangat mudah dihubungi dengan jaringan jalan raya, jalan kereta api dan laluan udara. Dari ibu negara, Kuala Lumpur, perjalanan ke utara menuju Sungai Petani melalui lebuhraya utara selatan. Jalan Persekutuan turut menghubungkan Sungai Petani dengan beberapa bandar utama seperti Alor Setar, Butterworth dan Ipoh. Bagaimanapun, perjalanan melalui lebuhraya utara selatan lebih cepat dan selesa.
Sekiranya menaiki kereta api, anda boleh turun di stesen keretapi Sungai Petani yang terletak di pusat bandar. Jalan kereta api bermula dari Padang Besar, Perlis melalui bandar seperti Alor Setar, Gurun, Sungai Petani, Bukit Mertajam, Butterwoth, Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh, Slim River, Tanjung Malim, Sungai Buloh dan Kuala Lumpur. Terdapat perjalanan terus dari Kuala Lumpur, Bangkok dan Hatyai melalui Sungai Petani.
Lapangan terbang terdekat dengan Sungai Petani ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang iaitu lebih kurang 45 km dari pusat bandar. Selain itu, terdapat satu lapangan terbang bagi laluan domestik di Alor Setar iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.


Sumber : MPSPK